منڧعتكن علمو اڤا يڠ كامو كتاهٶي

Hujahan Kes Fasakh (sebelah pihak)

HUJAH PENGGULUNGAN


ANTARA

NORNAHALI BINTI LAZNAI (PLAINTIF)

VS

AHMAD FAKRI ABU BIN LAZIM (DEFENDAN)

PENDAHULUAN

Kes ini adalah permohonan untuk mendapatkan perintah pembubaran pernikahan atau fasakh di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 yang telah difailkan sendiri oleh Plaintif NorHanali binti Laznai terhadap Defendan Ahmad Fakri Abu bin Lazim suaminya. Penyerahana saman ke atas Defendan telahpun disempurnakan secara serah ganti pada 22/07/2013. Defendan telah gagal menghadirkan diri secara berterusan serta gagal memfailkan sebarang pembelaan di mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan. Oleh yang demikian, mahkamah telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 116(1) (b) Enakmen Aturcara Mal Islam Negeri Kedah 1979 untuk membicarakan kes tanpa kehadiran Defendan.

- dewan utama Mahkamah Rendah Syariah -


FAKTA KES

Fakta kes ini ialah kedua-dua pihak adalah suami isteri yang sah. Plaintif dan Defendan telah bernikah pada 10/04/2011 di Masjid Ewa Langkawi, Kedah. Selepas bernikah, pasangan tinggal di Kg Syed Azlan Langkawi, rumah ibu Plaintif dan selepas itu pasangan berpindah ke Jitra Kedah dan alamat terakhir bagi pasangan tersebut tinggal bersama. Pihak-pihak dikurniakan seorang cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan. Pasangan telah tinggal berasingan sejak 05/03/2013. Plaintif telah keluar rumah dahulu memandangkan sikap Defendan yang tidak terkawal seperti memukul Plaintif dengan tanpa sebab yang munasabah. Antara perkara yang tidak munasabah itu ialah Plaintif pulang kerja sedikit lewat memandangkan ketika itu keadaan malam raya yang begitu sibuk. Plaintif telah memaklumkan kepada Defendan tentang kelewatan itu, tetapi tidak semena-mena apabila Plaintif sampai sahaja di rumah, Defendan terus memukul Plaintif dengan teruk. Kesannya pecah di mulut Plaintif. Selain itu, Plaintif juga dipukul disebabkan Plaintif meminta wang untuk membeli susu anak. Defendan juga ada pengaruh dadah. Sejak dari 05/03/2013, Plaintif telah keluar dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap Defendan, sejak dari itu juga, sebarang nafkah tidak langsung diberikan kepada Plaintif sehingga kini.


SAKSI

Plaintif telah memberikan keterangannya dan disokong oleh dua (2) orang saksi, iaitu:-
  1. Zainal bin Man                                                                          Saksi Plaintif 1
  2. Nor Siah binti Nasir                                                                  Saksi Plaintif 2

FAKTA YANG PERLU DIBUKTIKAN

Berhubung dengan permohonan untuk mendapatkan perintah pembubaran pernikahan atau fasakh di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 ini, terdapat beberapa perkara atau isu penting yang perlu dibuktikan di mahkamah, antaranya ialah:-

  1. Wujudnya perkahwinan yang sah di antara Plaintif dan Defendan;
  2. Adakah alasan yang dikemukakan adalah bersabitan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak; dan
  3. Kebolehterimaan saksi-saksi.
Mengenai isu pertama, iaitu adanya perkahwinan yang sah antara Plaintif dan Defendan, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa Plaintif dan Defendan telah bernikah secara sah pada 10/04/2011 di Masjid Syed Sanusi Langkawi, Kedah. Kenyataan ini diperakui sendiri oleh Plaintif dan sesalinan Sijil Daftar Pernikahan No. 055320 (No. 296/09) yang ditandatangani oleh Qadhi atau Imam yang diberi kuasa pada masa tersebut di mana ia telah dikemukakan ke Mahkamah dan dijadikan sebagai Exibit Pertama sebagai bukti keterangan tersebut.

Mengenai isu ini, berhujah bahawa Mahkamah adalah terikat untuk menerima keterangan bahawa wujudnya pernikahan antara Plaintif dan Defendan berdasarkan apa yang tercatat di dalam Sijil Daftar Pernikahan tersebut. Dalam Seksyen 44 Bahagian IV Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008, jelas menyatakan bahawa tiap-tiap Daftar Perkahwinan yang disimpan oleh Ketua Pendaftar atau Pendaftar di bawah Enakmen ini dan sesuatu salinan apa-apa catatan di dalamnya, yang diperakui dengan tandatangan dan meterai jawatannya sebagai suatu salinan atau cabutan yang benar, adalah menjadi keterangan prima facie dalam semua Mahkamah. Sijil Daftar Pernikahan yang dikemukakan adalah dokumen awam di mana ia merupakan dokumen Primer dan bukannya Sekunder. Ia menjadi tanggungjawab Mahkamah untuk menerimanya. Ia dianggap sebagai dokumen awam kerana ia mengandungi tindakan atau rekod Badan Resmi (Jabatan Agama Islam). Seperti mana kehendak Seksyen 57 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Kedah, Plaintif telah membuktikan dokumen rasmi tersebut di Mahkamah.

Menyentuh isu kedua pula, iaitu adakah alasan yang dikemukakan oleh Plaintif bersabitan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak? Plaintif dan saksi-saksi selepas bersumpah, telahpun memberi keterangan kepada Mahkamah dan telah memberi beberapa alasan terhadap tuntutan fasakh ini iaitu Defendan telah cuai memperuntukkan nafkah selama tiga (3) bulan berturut-turut. Selain itu juga, Defendan telah memukul Plaintif tanpa sebab yang munasabah yang menyebabkan dharar ke atas diri Plaintif. Dakwaan ini menjadi lebih kukuh lagi apabila Plaintif dan saksi-saksi menyetakan bahawa Defendan sudah lama tinggal berasingan dengan Plaintif iaitu sejak 05/03/2013 yang lalu hingga kini. Plaintif dan saksi-saksi juga menyatakan bahawa Defendan serta keluarganya tidak pernah memberi sebarang nafkah sepanjang tempoh ketiadaan Defendan, malah segala perbelanjaan Plaintif ditanggung oleh Plaintif sendiri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Defendan telah gagal dan cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya kerana Defendan telah tidak memberi nafkah kepada Plaintif melebihi tempoh tiga (3) bulan seperti mana yang termaktub di dalam Seksyen 53 (1) (b) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008.

Kegagalan Defendan dalam menunaikan tanggungjawab ini telah menyebabkan Plaintif menghadapi tekanan yang hebat dan kesusahan dalam menjalani kehidupan sehariannya kerana telah digantung tidak bertali ini sehingga kini. Umpatan dan pandangan buruk masyarakat sekeliling turut memberi kesan yang negatif kepada diri Plaintif. Hal ini berlaku setelah Plaintif ditinggalkan dan digantung tiadk bertali oleh Defendan. Tekanan perasaan dan emosi ini juga kadang-kala menjejaskan kesihatan Plaintif. Oleh yang demikian, Plaintif sekali lagi memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agak memfasakhkan pernikahan ini di atas alasan tekanan perasaan yang kadang-kala telah memburukkan kesihatan Plaintif sehingga Plaintif gagal menghadirkan diri ke tempat kerja untuk mencari rezeki. Alasan ini adalah bersangkutan dengan Seksyen 53 (1) (l) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008, di mana telah dinyatakan bahawa mahkamah boleh membubarkan sesuatu perkahwinan itu berdasarkan kepada apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

Hujah kami seterusnya ialah alasan-alasan yang diberikan oleh Plaintif adalah menepati kehendak syarak. Alasan yang pertama iaitu berkaitan Seksyen 53 (1) (b) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 iaitu bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tiga (3) bulan, peruntukan ini adalah bersesuaian dengan pendapat jumhur mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali. Namun begitu, kegagalan memberi nafkah di sisi mazhab Syafie dikaitkan dengan kepapaan suami dan bukannya kecuaian semata-mata. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 memperuntukan tempoh kegagalan tersebut selama tiga (3) bulan atau lebih. Tempoh ini tidak terdapat di dalam perbahasan para fuqaha silam. Mazhab Syafie contohnya, mengambil kiraan berdasarkan hari iaitu selepas tiga (3) hari berlalu, jika suami telah gagal memberi nafkah, maka isteri boleh membawa aduan ke hadapan hakim. Kemungkinan tempoh masa tersebut diputuskan berdasarkan prinsip maslahah dan taraf hidup serta kesukaran yang dihadapi oleh isteri mengikut keperluan kehidupan di negara ini ketika penggubalan undang-undang dibuat.

Demikian juga berkenaan dengan alasan di mana Defendan dengan sengaja telah gagal memperuntukan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) terhapap Plaintif selama tempoh satu tahun yang bertetapan dengan Seksyen 53 (1) (d) Enakmen Undang-undang Kelaurga Islam (Kedah Darul Aman) 2008. Plaintif di dalam kes ini berhujah bahawa ketidakadilan telah berlaku terhadap diri Plaintif di mana Plaintif sepatutnya mendapat nafkah batin daripada Defendan kerana Plaintif adalah seorang perempuan normal dan mempunyai nafsu yang juga normal dimiliki oleh mana-mana perempuan lain yang telah berkahwin di dunia ini.

Berkenaan dengan alasan yang terakhir pula, ia adalah bergantung kepada budi bicara Mahkamah Yang Mulia ini sama ada mengiktiraf atau tidak akan alasan yang diberikan iaitu berkenaan dengan tekanan perasaan yang kadang-kala telah memburukkan kesihatan Plaintif serta kesusahan yang ditanggung oleh Plaintif sepanjang tempoh peninggalan Defendan.

Menyentuh tentang kebolehterimaan saksi-saksi Plaintif, saksi-saksi yang dikemukakan dalam kes ini adalah dianggap boleh diterima. Mereka bukanlah orang yang mempunyai kepentingan dalam kes ini. Plaintif dan saksi-saksi memberi keterangan berdasarkan apa yang mereka lihat sendiri dan bukannya dengar cakap. Mereka sempurna akal, mempunyai kerja tetap, menampakkan akhlah yang mulia dan bermoral. Selain itu, saksi-saksi yang dikemukakan adalah cukup dari segi bilangan bagi membuktikan kes perceraian, Seksyen 88 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Kedah 1989 menyebut bahawa dalam Kes Mal, pembuktian hendaklah dengan sokongan keterangan seorang saksi sahaja tuntutannya itu boleh diterima dengan saksi itu bersama dengan sumpah pihak yang menuntut (Plaintif). Tambahan pula, Defendan telah gagal dengan sengaja untuk tidak hadir ke mahkamah dan keterangan-keterangan Plaintif serta saksi-saksinya di mahkamah adalah tidak dibantah oleh mana-mana pihak khususnya dari pihak Dedendan itu sendiri.

Dengan izin Tuan Hakim,

Hujahan kami juga berdasarkan kepada al-Quran, seperti berikut umpamanya di dalam surah al-Baqarah (2) ayat 231 disebut maksudnya:-

".....bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudharat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya diri sendiri."

Selain itu, pihak kami juga telah merujuk kepada satu kes di Wilayah Persekutuan iaitu kes diantara Siti Rohani lawan Mohd Sazali (1991) 2 MLJ:-

Fakta kes ini ialah isteri menuntut fasakh atas alasan suaminya telah tidak memberi nafkah lebih daripada tiga (3) bulan. Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga berpendapat bahawa suami tersebut tidak memberi isterinya nafkah untuk masa yang melebihi tiga (3) bulan serta isteri itu tidak pernah dihukum nusyuz oleh mahkamah. Walaubagaimanapun, Mahkamah juga berpendapat mengikut mazhab Syafie, suami tersebut perlu membuktikan bahawa beliau tidak berupaya untuk memberi nafkah. Hakim telah menangguhkan kes itu selama sebulan untuk membolehkan suami memberi nafkah sebulan kepada isterinya. Kemudian, suami itu telah membayar RM200 sebagai nafkah dan Hakim telah menolak permohonan isteri untuk fasakh oleh kerana Hakim berpendapat bahawa suami boleh membayar nafkah tersebut. Isteri telah merayu dan Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan di bawah Seksyen 52 (i) (b) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), seorang isteri berhak mendapat fasakh atau alasan bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkahnya selama tempoh tiga (3) bulan.

Dalam kes ini, Hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa suami telah gagal memberi nafkah kepada isteri bagi tempoh lebih tiga (3) bulan dan beliau tidak dihukum nusyuz oleh mana-mana mahkamah. Isteri tersebut, oleh kerana telah membuktikan dakwaannya, maka beliau telah berhak mendapat perintah fasakh bagi membubarkan perkahwinannya.

Pihak kami juga merujuk kepada kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dalam tuntutan fasakh yang dikemukakan oleh Fatimah binti Abdullah lawan Mohd Nong bin Othman, Kes Mal No: 41-010/13/95 yang mana Yang Arif Hakim Bicara Dato Ismail bin Yahya telah membuat keputusan apabila pemohon memfailkan bahawa antara beliau dan suami telah tidak ada lagi kasih sayang dan perbuatan suami telah menimbulkan dharar kepada pemohon dan juga dalam kes Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kes Mal No: 41-010-22-1996, Zaida binti Zakarian lawan Muhamad Zaki bin Mohd Noor juga diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas alasan suami tidak mengadakan peruntukan nafkah kepadanya melebihi tempoh 3 bulan.

Yang Arif Tuan Hakim,

Walaupun autoriti-autoriti kes tidak mengikat mahkamah ini untuk membuat keputusan, namun diharap ia dapat menjadi satu panduan dalam membuat keputusan berkaitan kes ini.

Sebagai mengakhiri kalam, pihak kami dengan rendah hati memohon bagi Plaintif agar Mahkamah mensabitkan pembubaran perkahwinan melalui fasakh sebagaimana permohonan Plaintif dan sekiranya mahkamah masih lagi ragu-ragu berhubung dengan keterangan Plaintif dan saksi-saksi, Mahkamah bolehlah mengarahkan Plaintif supaya bersumpah untuk menguatkan kes beliau.

Oleh yang demikian, memandangkan telah wujudnya perkara-perkara atau isu-isu penting yang perlu dibuktikan di Mahkamah dalam masalah tuntutan cerai fasakh, iaitu:-

a) Adanya perkahwinan yang sah di antara Plaintif dan Defendan;
b) Alasan-alasan yang dikemukakan adalah bersabitan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak; dan
c) Kebolehterimaan saksi-saksi.

Maka berdasarkan kepada hujah-hujah dan alasan-alasan yang tersebut di atas, Plaintif memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar mensabitkan cerai fasakh terhadap Plaintif dan Defendan.


Bertarikh .....hb NOVEMBER 2013




....................................
PEGUAM PLAINTIF



Hujah Penggulungan ini difailkan oleh ----------------------------------------------------------------------------------, Kedah Darul Aman. No fail Kes: ABC.KDH (CS) 99/2013.

Sekian,
Share on Google Plus

About Ben Ismail

Berkongsi pengalaman

1 comments:

  1. Terima kasih. Saya mohon izin untuk saya edit dan gunakan ya, tuan. Terima kasih.

    ReplyDelete