منڧعتكن علمو اڤا يڠ كامو كتاهٶي

Antara Selawat Perdana & Perintah Nabi

Salam sejahtera,

Malam tadi berlangsungnya selawat nabi di Kompleks Haji Ismail Group (HIG) Langkawi yang dipimpin oleh Syeikh Ustaz Zainul Asri. Sekarang ini menjadi trend 'Ya Hanana' di seluruh Malaysia. Pada 8/2/2014 kerajaan Kedah menganjurkan Kedah Berselawat Program Mahabbatur Rasul dan pada 21/3/2104 pula Kerajaan Persekutuan di bawah Najib Tun Razak menganjurkan Malam Cinta Rasul di Pusat Pentadbiran Putrajaya. Kedua-dua ini dipimpin atau diketuai oleh Habib Syech Abdul Qadir Assegaff.

Program ini penuh kebaikan kerana memberi ransangan kepada masyarakat umumnya supaya sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad iaitu manusia yang paling agung. Benarlah bahawa sekali kita berselawat, Allah akan berselawat kita sebanyak 10 kali.


- pandangan di hadapan -

-pandangan di belakang -

Pelbagai perwatakan manusia di dalam persembahan itu dengan rata-rata begitu bersemangat dengan hayunan kain ridak, serban dan tangan-tangan melambai seolah-olah ingin berjumpa dengan Nabi dan mendekatkan diri kita kepada Baginda. Aku yang kini berada di Langkawi agak sukar nak ke Program Kedah Berselawat tempoh hari kerana kekangan untuk bekerja yang mana masa agak begitu terhad. Jika ada jambatan menghubungkan Pulau Langkawi dengan tanah besar, nescaya aku akan pergi ke tempat sebegitu.

- kumpulan mengalunkan qasidah -

- Syeikh Zainul Asri, kerusi bahagian depan (tengah) -

- perkarangan HIG -

Langkawi juga tidak ketinggalan untuk menganjurkan seumpama itu, menjadi ikutan buat masa anak muda yang amat mencintai Baginda. Begitulah juga bahawa tidak salah untuk berselawat, tetapi diri kita sendiri mestilah mengikuti apa yang di ajar oleh Nabi kita. Kita amat kasihkan nabi, tetapi mengapa jua ada yang meninggalkan apa yang diperintahnya?

Seperti contoh untuk individu, seringkali seorang suami hendak berkahwin @ poligami. Apabila ditanya sang isteri, mengapa hendak kahwin lagi? Dijawab oleh suami, 'sunnah.' (Padahal isteri yang sedia ada pun belum cukup untuk menampung keperluan dapur.) Di dalam bab perkahwinan, pandai saja mahu ikut sunnah. Tetapi di dalam bab solat, puasa, perwatakan, jauh sekali hendak mengikut sunnah. Wa na'uzu billah.

Contoh lagi, kita amat sayangkan Nabi, tetapi agak sukar untuk berjemaah di masjid. Sebab apa? Sebab jiwa seseorang itu jauh ketinggalan dari Nabi. Itulah agak sukar untuk diluahkan kerana rata-rata jika kita ke masjid 5 waktu, masjid yang gah besarnya tetapi boleh dikira dengan jari kehadiran jemaah itu.

Di dalam bab kepimpinan negara, inilah yang amat ditekankan. Kerana dari pemimpin yang baik, akan menjadi ikutan rakyat yang baik. Sekiranya pemimpin mengamalkan sikap sekular, rasuah, penyelewengan, maka bumi tidak akan berkat, maka dengan itu pelbagai masalah yang sering terjadi pada masyarakat. Pemimpin negara jika dilihat pada kekeluargaannya, jika seorang suaminya berjaya mendidik isterinya bertudung, maka berjayalah dia untuk mendidik rakyatnya. Begitu juga anaknya. Tetapi sebaliknya jika si isterinya tidak menutup aurat, apakah pemimpin itu berjaya terhadap rakyatnya? 'Lu pikirlah sendiri.'

Berjaya menganjurkan Selawat Perdana yang begitu besar, tetapi mana dia pemerintah bercirikan Islam? Hari ini berselawat, esok lusa luluskan konsert maksiat sehingga mati overdos dadah berlebihan. Bukan itu saja, judi, arak juga diberi lesen. Rasuah dan seleweng begitu dahsyat. Apabila dana negara berkurangan, cukai pula dinaikkan dengan kadar yang membebankan. Apabila cukai dinaikkan, rakyat jadi susah dan pelbagai jenayah dilakukan seperti merompak, mencuri, ragut, tekanan dan pengambilan dadah dan sebagainya.

Jika itu berlarutan, maka ketahuilah negara tiada keberkatan. Islam itu cantik, dan ramai orang bukan Islam ingin memeluknya, tetapi jika tiada jiwa Islam, pemerintah kuku besi, tidak adil, orang bukan Islam ingin jauh sekali untuk mengenali Islam. Dari segi politik, jika tidak kena dengan pemerintahannya, pasti ada yang membangkang. Tidak ada pembangkang jika pemeritahannya adil. Disebabkan tidak adillah wujudnya pembangkang. Jika ada pembangkang untuk bangkang, atau menegur, kenapa tiada memberi ruang didalam media? Media sering dikawal sepenuhnya oleh puak pemerintah sehingga tiada ruang langsung untuk pembangkang bercakap. Jika puak pemerintah menuduh pembangkang bukan-bukan, berikan sedikit ruang kepada pembangkang untuk menjawab. Barulah rakyat akan mengerti. Tetapi apa yang terjadi di Malaysia, sangat malang. Inilah pemerintah yang tidak adil.

Walaupun terdapat pemerintah yang taat kepada Tuhan dan selawat ke atas Nabi, namun janganlah itu merasa sangat baiklah dalam pemerintahannya. Di zaman Umayyah, terdapat seorang gabenor Iraq yang bernama Al-Hajjaj bin Yusof as-Saqofi, pelbagai jasa kebaikan yang ditaburkan, pemimpin yang menyembah kepada Allah tetapi kerana sikapnya yang teruk terhadap ulama', maka dia diazab.


*Kisah secara ringkas Al-Hajjaj bin Yusof As-Saqofi

Pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan di zaman Bani Umayyah, khalifah melantik al-Hajjaj gabenor di Iraq. Sikap al-Hajjaj yang sangat bengis dan suka berperang. Namun terdapat juga jasa baiknya iaitu;

  • mendaulatkan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
  • menambahkan baris-baris di dalam al-Quran supaya memudahkan bacaan umat Islam.
  • menyelamatkan umat Islam di India apabila diserang oleh puak Hindu.
  • berperang dan meluaskan empayar sehingga ke sempadan China.
  • meluaskan empayar dan menghantar Tariq bin Ziyad sehingga ke Andalus.
Di dalam kebaikannya itu, terdapat kejahatan juga di dalam dirinya. Dia pernah membunuh orang yang lantang bersuara terhadap pemerintahannya. Cara pemerintahannya yang bengis, kuku besi dan sesiapa sahaja yang mahu menjatuhkan dalam kerier politiknya.

Beliau membunuh ribuan umat Islam dan paling kontreversi adalah membunuh anak kepada sahabat Nabi di Kaabah, Mekah iaitu Abdullah bin Zubair bin Awwam. Abdullah bersembunyi di Kaabah dan diserang menggunakan menjanik sehingga runtuhnya kaabah.

Selain dari itu, ulama' Said bin Jubair turut menjadi mangsa. Baliau mengkritik cara pentadbirannya yang keras, kejam dan juga kukubesi, mementingkan politik serta kepentingannya. Al-Hajjaj tidak berpuas hati dan mengarahkan pengawalnya supaya menangkap Said bin Jubair dan dihukum pancung kepala.

Begitulah sedikit ringkas tentang seorang Muslim, walaupun jasanya agak besar terhadap umat Islam, tetapi demi kepentingan politik beliau, beliau sanggup membunuh ulama'-ulama' dari para tabai'in kerana mengkritik beliau cara pentadbirannya. Walaupun dalam negara kita masih lagi tiada tahap membunuh, tapi dengan cara mengkhianati, memenjarakan dan juga memfitnah juga adalah perbuatan yang sangat jahat.

Jika benar ianya baik, ataupun memerintah yang adil, pasti tidak akan berkelakuan sehingga membunuh ataupun menyakiti ulama'. Ia pasti akan menghormati ulama' kerana setiap perkara yang kita lakukan pasti tersilap, mengapa tidak boleh menerima teguran dari orang yang lebih berpengatahuan? Jika ianya terlepas didunia, pasti ianya takkan terlepas di akhirat.

Wallahu A'lam.


Sekian,
Share on Google Plus

About Ben Ismail

Berkongsi pengalaman
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment