منڧعتكن علمو اڤا يڠ كامو كتاهٶي

Antara Tunggakan Nafkah dan Saman Penghutang Penghakiman

Assalamualaikum,

-Pendapat peribadi-

Segelintir hakim apabila difailkan kes Saman Penghutang Penghakiman oleh BSK, perlu mengemukakan perintah tunggakan nafkah anak terlebih dahulu di bawah kod kes 023 Tuntutan Tunggakan Nafkah di dalam Seksyen 69 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Walaupun begitu, Seksyen 69 menjelaskan:-

"(1) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya."

Ayat undang-undang di atas memberi maksud tunggakan yang difailkan oleh Yang Menuntut itu adalah sebelum diperintahkan oleh mahkamah. Tuntutan ini dilakukan tunggakan nafkah sama ada sebelum perceraian atau selepas perceraian. Ayat "tanpa jaminan" dan "sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu" jelas menunjukkan tiada sebarang apa-apa perintah lagi yang dikeluarkan oleh mahkamah. Apabila tiada perintah yang yang dikeluarkan, sekiranya terdapat pihak Yang Menuntut untuk melaksanakan perintah tersebut, maka ia tidak boleh dilaksanakan untuk penguatkuasaan. Suatu tempoh tunggakan tersebut ditentukan sendiri bagi kedua-dua pihak berapa jumlah amaun tertentu dan sekiranya terdapat persetujuan bersama dan juga selesai perbicaraan, maka mahkamah akan mengeluarkan perintah tunggakan tersebut.

Berbeza bagi kes Saman Penghutang Penghakiman (SPP). Kes SPP memerlukan perintah yang telah dibuat oleh Pihak Yang Menuntut sewaktu sebelum atau selepas perbicaraan bagi kes tuntutan nafkah isteri 018, tuntutan nafkah anak 024, tuntutan eddah 021 dan lain-lain. Perintah tersebut jelas menyebut bahawa nafkah perlu dibayar atau dibiayai oleh bapa atau orang yang bertanggungan. Sekiranya tiada apa-apa bayaran, maka penguatkuasaan boleh diambil dengan melaksanakan SPP terlebih dahulu.

Seksyen 176 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998 memperuntukan:-

"(1) Jika penghakiman Mahkamah adalah untuk mendapatkan pembayaran wang, pemiutang penghakiman yang berhak menguatkuasakan penghakiman yang bertanggungan di bawah penghakiman itu hadir di Mahkamah untuk diperiksa secara lisan tentang keupayaannya membayar atau menyelesaikan hutang penghakiman itu dan untuk mendapatkan apa-apa harta yang boleh digunakan bagi pembayaran itu."

Maksud "penghakiman Mahkamah adalah untuk mendapatkan pembayaran wang" adalah Mahkamah telah memerintahkan bagi pihak yang bertanggungan untuk membiayai nafkah tersebut dan "pemiutang penghakiman yang berhak menguatkuasakan penghakiman" bermaksud Pihak Yang Menuntut mempunyai hak untuk menuntut kembali wang dari pihak yang bertanggungan dengan cara melaksanakan penguatkuasaan. Pihak yang bertanggungan atau Pihak Yang Dituntut tersebut akan diperiksa oleh Mahkamah dan memberi alasan mengapa tidak melaksanakan perintah yang telahpun dikeluarkan oleh Mahkamah.

Oleh sebab itu, sekiranya terdapat aduan mengenai pelanggaran perintah nafkah secara terang dan jelas bahawa perintah tersebut perlu dilaksanakan oleh orang yang bertanggungan, maka kes yang perlu difailkan untuk menuntut kembali tunggakan hutang tersebut adalah SPP bagi kod kes 037 dan bukannya tuntutan tunggakan nafkah kod kes 023. Dan apabila SPP difailkan, sebutan kali pertama di hadapan Pendaftar Mahkamah adalah menilai dengan cara taksiran bagi menentukan sejumlah amaun yang tertunggak berdasarkan perintah yang telah dibuat. Dan selepas itu, barulah disebut di hadapan hakim bagi memeriksa atau menyiasat orang yang bertanggungan tersebut mengapa tidak melaksanakan perintah itu.
Share on Google Plus

About Ben Ismail

Berkongsi pengalaman
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment