منڧعتكن علمو اڤا يڠ كامو كتاهٶي

Nafkah Untuk Orang Islam (Langkawi.FM)

Salam sejahtera,

Pada hari Ahad 04/05/2014 yang lalu, sekali lagi aku dipanggil untuk ditemuramah oleh Langkawi.fm. Dikelola oleh Dj PKZ sekali lagi. Pada kali ini, aku menceritakan sedikit sebanyak berkenaan nafkah bagi orang Islam apabila turn aku setelah dua orang pegawai opis aku telah dilaksanakan. Tiba bulan ini, giliran aku pula untuk mengendalikan ceramah undang-undang di Radio Langkawi.fm frekuasi 104.80 pada jam 3.30 - 4.00 petang di Segmen "Lagu tu ka?.



1) Apa maksud nafkah?

Nafkah, dalam bahasa arab, (نفقة), nafaqah, yang bermaksud; mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib ke atas seseorang sama ada isteri, anak dan orang tanggungannya. Keperluan asas seperti pakaian, tempat tinggal dan makanan. Ditambah lagi dengan pendidikan, keagamaan dan perubatan.

2) Sebab-sebab yang mewajibkan nafkah?

Terdapat 3 perkara yang mewajibkan seorang suami atau seorang bapa terhadap nafkah. iaitu;

a) perkahwinan - wajib seorang suami terhadap isterinya.

b) keturunan - wajib seorang bapa kepada anak-anaknya.

c) anak angkat.

3) Jenis-jenis nafkah;

a) nafkah isteri - semasa perkahwinan

b) nafkah iddah - nafkah setelah bercerai dengan talak satu selama tempoh 3 kali suci.

c) nafkah anak.

4) Siapa yang menanggung?

Seorang suami kepada isterinya, seorang bapa kepada anaknya. Jika suami atau bapa tiada, wakil kepada bapa atau suami akan menanggungnya. Wakil tersebut susunan tertib wali. Jika tiada bapa, berpindah kepada atuk sebelah bapa dan begitu seterusnya.

5) Mahkamah boleh keluarkan perintah jika Pemohon, (bekas isteri) yang menuntut kepada anaknya, waktu bilakah?

a) jika si bapa enggan atau cuai untuk memberi nafkah.

b) jika si bapa meninggalkan terus dari anaknya dan anaknya dijaga oleh ibu anak itu.

c) dalam menanti proses perbicaraan di mahkamah.

6) Berapa amaun yang boleh diminta?

Dalam perkara ini, jumlah yang boleh diminta pihak mahkamah akan mengambil perkara berikut:

a) pendapatan atau kemampuan suami @ bapa itu.

Kemampuan ini sangat penting dalam menentukan amaun seseorang itu. Kadangkala di dalam kes mahkamah, si ibu meminta amuan yang melampau sehingga tidak memikirkan pendapatan si bapa tersebut. Sebagai contoh jika si bapa pendapatan RM1000, dan bekas isterinya meminta RM200, ditambah dengan 4 orang anak, jumlah itu menjadi RM800. Apabila RM1000 tolak dengan RM800, jumlah untuk saraan bapa tersebut hanya RM200 sahaja sebulan. Maka dalam perkara ini, mahkamah akan menilai dan mengambilkira tahap kemampuan tersebut.

b) keperluan isteri dan anak-anak.

Sedia maklum hanya perkara keperluan asas sahaja yang diperlukan dan bukan kehendak atau kemewahan. Contoh perkara asas ialah, pakaian anak-anak, makanan, baju sekolah, pendidikan. Manakala untuk kehendak tidak diperlukan. Apabila si bapa mampu untuk memberi lebih atau kemewahan, maka itu tidak menjadi masalah.

c) umur anak-anak.

Umur anak-anak juga menjadi faktor yang penting. Jika anaknya berumur 6 tahun dimasukkan ke dalam tadika, maka jumlah kos untuk ditanggung mungkin kurang. Jika dibanding dengan anaknya yang sekolah menengah, kos untuk pembelajaran semakin tinggi. Maka dengan itu, jumlah yang hendak diminta, mestilah berbeza dan bukannya sama amaunnya.

Di dalam enakmen bagi setiap negeri, tempoh perintah nafkah anak mestilah berumur sehingga 18 tahun. Bagi seorang perempuan, nafkah tersebut sehingga anak perempuan itu berkahwin. Dan apabila anaknya sambung pelajaran hingga ke universiti, bapa masih lagi wajib untuk menanggung anaknya itu sehingga habis pembelajaran.

7) Bagaimana cara untuk membayar nafkah?

a) Pembayaran terus iaitu secara 'by hand'. Namun jika perkara ini terdapat pertikaian, apabila si bekas isteri mengatakan si bapa tak bayar, bagi mengelakkan perkara ini berlaku, bawalah saksi untuk melihat transaksi dalam proses pembayaran itu. Jika perkara ini keberatan, bayarlah melalui 'bank in' dan simpanlah resit sebagai bukti pembayaran tersebut.

b) Cara yang kasar sikit ialah potongan gaji. Jika si bapa enggan untuk membayar nafkah, mahkamah boleh dengan perintahnya untuk mendapatkan slip gaji dan terus potong dan terus ke akaun bank pihak yang menuntut. Perkara ini lebih mudah jika si bapa bekerja yang mempunyai slip gaji seperti bekerja di sektor kerajaan, hotel, syarikat swasta dan sebagainya. Agak sukar jika pekerjaan yang tiada slip gaji.

8) Bolehkah amaun itu ditambah atau dikurangkan apabila sudah ada perintah mahkamah?

Pada bila-bila masa sahaja perkara ini boleh diubah. Tiada masalah bagi pihak mahkamah. Hendak membatalkan terus pun tidak mengapa.

9) Apakah dikira sebagai hutang jika tidak bayar nafkah?

Ya, nafkah isteri dikira hutang jika tidak diberi kepadanya bermula dari selepas akad nikah manakala anak pula bermula dari perintah dari mahkamah.

Nafkah bukanlah dikira hanya wang sahaja. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal, segala bil-bil dan perbelanjaan juga dikira sebagai nafkah. Ramai klayen yang tidak tahu perkara ini.




*Pengalaman Mengendalikan Kes

Apabila datangnya seorang ibu @ bekas isteri ke pejabat dan mahu menuntut sebarang wang dari bapa @ bekas suaminya, terdapat 3 benda yang boleh dituntut oleh bekas isteri, iaitu nafkah iddah, mutah dan harta sepencarian. Harta sepencarian bidangkuasanya di Mahkamah Tinggi Syariah. Maka dengan itu, aku banyak bawa kes yang paling top 3 jenis kes iaitu mutaah, nafkah iddah dan nafkah anak.

Sebelum datangnya pihak ini, soalan pertama yang aku nak tanya pada depa ini ialah "lelaki ni kerja apa"?. Jika lelaki tersebut kerja yang mempunyai duit yang banyak, serta mempunyai slip gaji, Insya Allah, kami dapat tolong. Jika sebaliknya kerja bersendirian seperti kerja pasar malam, berniaga, kontaktor yang tidak mempunyai slip gaji, agak sukar untuk mendapatkan wang daripada si bapa. Dan aku telah berkata kepada mereka "kita jangan nak berharap sangat la na kalau nak dapat duit dari dia, tak ada cara lain dah". Begitulah sukarnya untuk mendapatkan wang. Jika si bapa ini ada rasa tanggungjawabnya terhadap anaknya itu, maka tak perlulah kita susah payah nak buka fail di mahkamah.

Satu lagi perkara, bila si bapa tidak memberi nafkah kepada anaknya yang telah dibuka fail di mahkamah, tiada penguatkuasa ataupun polis yang boleh menangkap si bapa tersebut. Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk si bapa ini membayar, tetapi hanya di kertas saja, yang nak membayar si bapa. Kalau dia tak bayar pun, tiada tindakan apa-apa yang dikenakan oleh dia. Menangis tak berlagulah si ibu ini yang terpaksa menanggung anak tersebut.

Sebelum PRU ke-13 dulu, di dalam manifesto Pakatan Rakyat, di dalam bab Pembangunan Keluarga, mengatakan, setiap suami wajib mencarum RM10 - RM100 ke dalam tabung @ akaun, agar pada hari akan datang seperti berlaku perceraian, maka dari situlah wang akan dikembalikan kepada isteri dan juga anak. Maka dengan itu, tidak akan timbul masalah seperti ini. Alangkah bagusnya jika Pakatan Rakyat yang memerintah negara. Tapi apakan daya, rakyat masih menyokong BN, Barang Naik. Kerajaan sekarang seperti tidak menekankan di dalam perkara ini. Sungguh mengecewakan.




Ini post facebook aku pada 24/04/2014 yang tertera di bawah nama aku tu. Ada sebabnya mengapa apabila suami menceraikan isterinya, ekonomi terus merudum.

Apabila selesai mengakad nikah, maka sah jadi suami isteri, turun ayat al-Quran dalam surah an-Nur ayat 32 dan disertakan dengan dalil Rasulullah, apabila berkahwin, maka Allah lapangkan rezekinya. Perkara ini kita sedia maklum. Bab ekonomi sangat sensitif bagi semua pihak. Kadangkala sebelum hendak berkahwin, pasti ekonomi kita kukuh dulu. Apabila tiada ekonomi, maka saat untuk runtuh itu bakal tiba.

Semasa di dalam perkahwinan, InsyaAllah rezeki akan cukup. Besertakan dengan anak-anak yang ada, cukup sekadar keperluan kerana itu Allah telah janjikan kepada orang yang berkahwin. Seperti contoh dalam bab pemakanan, pakaian dan juga anak ke sekolah, kita yang hanya sekadar pendapatan yang cukup, mampu untuk menyara keluarga. Si isteri akan memahami setakat mana kemampuan suaminya dan tidak akan meminta lebih-lebih dan juga anak-anak.

Berbeza pula apabila terjadi perceraian. Apabila berlaku perceraian, maka bekas pasangan tersebut automatik akan hidup berasingan. Anak-anak kebanyakan akan mengikut ibunya. Dari situ, maka muncullah satu fail untuk menuntut nafkah anak. Bayangkan seorang anak, bekas isteri menuntut RM200, anak dalam jagaan ibunya 4 orang, maka akan jadi RM800. Sedangkan gaji bapanya RM1200 contohnya. Maka akan jadi baki bapanya itu sebulan RM400 sahaja. Apakah cukup berbekalkan RM400 sebulan?. Sedangkan apabila sebelum bercerai, 4 orang anak itu cukup sekadar RM500 sudah memadai. Dari situ bermulalah ekonomi si bapa terus merudum.

Selain itu, si bapa akan mengalami tekanan. Mana-mana lelaki tidak boleh hidup tanpa pasangannya. Maka dengan itu, si bapa itu pasti akan mencari pasangan yang lain. Untuk berkahwin perlu ada wang. Apabila tiada wang, maka dengan itu akan mengalami tekanan. Nafkah untuk anak pula, wajib ditanggungnya. Jika si bapa tidak bertanggungjawab, maka bersiap sedialah untuk menjawab di Padang Mahsyar kelak.

Hanya Allah saja yang mengetahui, sekadar mengalami pengalaman yang membawa kes, perkara inilah yang begitu ketara. Semasa dalam perkahwinan, kita akan mencukupi walaupun gaji tidak sebesar mana. Tapi apabila berlaku perceraian, ekonomi terus susut walaupun gajinya beribu-ribu. Apabila ditanya kemana duit itu pergi dan mengapa tidak cukup, dia pun tak tahu. Kemana wang itu pergi? Sama juga bila ada rasuah, mencuri, walaupun dah banyak, pasti rasa tidak puas, pasti nak lebih banyak, bila dah banyak, nak lagi banyak. Ketahuilah, keberkatan sudah tiada. Wallahu A'lam.

Sekian,

Wassalam.
Share on Google Plus

About Ben Ismail

Berkongsi pengalaman
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment