Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana diberi kekuatan untuk aku meneruskan kehidupan dengan mencari keredhaanNya supaya senang kita untuk berubah ke alam lain nanti kelak. Insya Allah.
Pada 16/02/2014 aku ke Langkawi FM atas urusan kerja. Aku diberi tugas untuk menyampaikan "Ceramah Undang-undang" dalam segmen "lagu tu ka?" yang mana segmen itu bersiaran dari jam 3 petang hingga 6 petang. Tapi di dalam urusan aku berkaitan ceramah tersebut, kami diberi masa 30minit saja. Dari jam 3.30 - 4.00 ptg. Segmen ini dijalankan tiap-tiap bulan. Tapi tiba saja giliran aku, aku mengambil tajuk berkaitan syariah kerana itu adalah bidang aku. Bersama DJ PKZ. Dia tanya, aku jawab berdasarkan pamplet yang diberikan.
- aku di Langkawi.FM - |
- khusyuk memberi penerangan di Wilayah Langkawi, Perlis, Kedah utara dan Satun Thailand - |
*Perceraian Orang Beragama Islam
1- Apakah maksud perceraian?
Perceraian dalam bahasa Arab ialah 'talak', iaitu dalam bahasa Melayunya cerai. Dari segi bahasanya melepaskan atau menguraikan ikatan. Contoh kata-kata tersebut:-
a) "aku ceraikan kau".
b) "aku lepaskan hang".
2- Berapakah jenis lafaz perceraian?
Lafaz tersebut terbahagi kepada dua (2) jenis, iaitu:-
a) dalam bentuk sareh (jelas)
b) dalam bentuk kinayah (tidak jelas atau sindiran)
Dalam bentuk sareh tadi ataupun jelas, sama maksudnya seperti contoh didalam soalan pertama tadi. Iaitu "aku ceraikan hang", atau "aku ceraikan kau". "aku talak hang 1,2,3". Contoh mengatakan ianya jelas untuk bercerai.
Manakala dalam bentuk kinayah, iaitu sindiran atau tidak jelas, yang mengatakan:-
a) "Baliklah kamu kepada ibu bapa kamu"
b) " Pi la rumah mak bapak hang, aku malas dah dok dengan hang".
c) "Mulai hari ini, kita berpisah. Kau dengan cara kau, aku dengan hal aku".
Dalam kes tersebut, lafaz yang dikeluarkan oleh mulut si suami, harus mengetahui niatnya tersebut. Samada dia sengaja untuk menceraikan isterinya atau sebaliknya. Jika niatnya itu untuk menceraikan isterinya, maka perceraian itu akan berlaku.
3- Selain dua jenis lafaz perceraian di atas, bolehkah perceraian berlaku?
Boleh, seperti SMS, facebook, twitter, e-mail, instrigram dan sebagainya.
4- Siapakah yang boleh menentukan berlaku atau tidak berlakunya sesuatu perceraian?
Hakim di Mahkamah saja yang akan menentukan samada perceraian itu berlaku atau tidak. Seperti contoh di dalam soalan dua tadi di bahagian b, mengatakan sindiran contohnya "baliklah kamu ke rumah mak bapa kamu", dalam kes tersebut, jika si isteri rasa curiga, dia boleh ke mahkamah untuk membuka fail 'pengesahan perceraian'. Surat saman akan sampai kepada suami untuk hadir ke Mahkamah. Apabila di Mahkamah, Hakim akan bertanya mengenai percakapannya itu. Jika si suami mengaku, maka perceraian itu sah. Jika tidak mengaku, perceraian itu tidak sah.
Begitu juga dalam soalan nombor tiga (3), melalui alam maya, si isteri boleh ke Mahkamah jika ada rasa curiga, buka fail 'pengesahan cerai' juga. Di dalam Mahkamah, Hakim akan tanya betulkan SMS yang diberikan itu. Dalam bab ini, kita mesti mengetahui sendiri daripada pihak suami samada adakah benar dia yang menulis perkataan cerai tersebut ataupun orang lain yang tulis itu sebagai sabotaj. Jika benar si suami yang mengatakan itu, maka perceraian berlaku.
5- Apakah tindakan yang perlu diambil bagi pasangan suami isteri yang bercerai di luar mahkamah?
Suami isteri yang bercerai di luar mahkamah perlu mengambil langkah seperti:
a) melaporkan segera ke Mahkamah Syariah.
b) mendapatkan pengesahan di Mahkamah Syariah.
c) mendaftarkan perceraian tersebut supaya apa-apa perkara berbangkit daripada perceraian itu dapat diambil dengan teratur.
Jika si suami enggan untuk hadir ke mahkamah untuk mengesahkan perceraian tersebut, Hakim boleh dan membenarkan saksi untuk mendengarnya. Sekurang-kurangnya dua orang lelaki. Contohnya, si suami berkata untuk menceraikan isterinya, dan ada adik atau abang kepada isterinya, lalu terdengar, dan adik dan abang kepada isterinya itu boleh ke mahkamah untuk menjadi saksi bahawa dua orang tersebut telah dengar perceraian kata-kata dari suami itu. Maka Hakim akan mengesahkan perceraian tersebut.
Ada empat (4) jenis, iaitu:-
a) perceraian dengan persetujuan/dengan perintah mahkamah.
b) perceraian takliq.
c) perceraian fasakh.
d) perceraian tebus talak (khuluk).
a) Perceraian dengan persetujuan/dengan perintah mahkamah
Jika kedua pihak bersetuju untuk bercerai, mereka boleh ke mahkamah untuk membuka fail permohonan cerai dan perlu isi borang-borang yang berkaitan. Dan boleh terus menerus suami melafazkan cerai di hadapan Hakim. Jika Hakim ada di mahkamah.
Borang tersebut perlu diserahkan kepada mahkamah dengan disertakan akuan berkanun (surat sumpah) dengan memenuhi perkara yang berikut:
i- butir-butir perkahwinan, nama anak, umur anak. (hasil perkahwinan).
ii- perkahwinan didaftarkan melalui Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam.
iii- pernyataan sebab-sebab bercerai.
iv- syarat atau perjanjian yang dibuat seperti nafkah untuk digugurkan, tempat tinggal, hak jagaan anak dan apa-apa berkaitan aset harta.
v- apa-apa perintah yang diminta.
b) Perceraian takliq
Maksudnya ialah lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan. Antara lafaz yang digunapakai di negeri Kedah ialah:
i- sekiranya aku meninggalkan isteri aku selama 4 bulan qamariah berturut-turut.
ii- apa-apa yang mendatangkan kemudharat kepada isteri aku seperti tidak memberi nafkah dan memukul isteri sehingga isteri mengadu kepada Qadhi di mahkamah.
Jika perkara ini tersebut terjadi, maka boleh ke mahkamah untuk membuka fail dalam kod 057 perceraian takliq. Semasa akad nikah, si isteri mesti dengar perkataan yang dilafazkan oleh suami semasa akad nikah. Jika isteri tidak dengar, isteri di dalam bilik atau jauh dibelakang contohnya, maka takliq itu tidak terpakai, walaupun ada tandatangan pada takliq tersebut. Isteri mesti dengar takliq yang dilafazkan oleh suami. Jika isteri tidak dengar, isteri kena tutup fail ini dan buka fail fasakh.
c) Perceraian fasakh
Maksudnya ialah pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui Mahkamah. Si isteri boleh membuka fail fasakh adalah alasan seperti berikut:-
i- suami telah menghilangkan diri selama lebih dari setahun.
ii- suami tidak memberi nafkah zahir kepada isteri dan anak selama tempoh 3 bulan.
iii- suami di penjara selama 3 tahun atau lebih.
iv- suami tidak beri nafkah batin selama satu (1) tahun.
v- suami mati pucuk.
vi- suami gila selama tempoh dua tahun atau menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau penyakit kelamin.
vii- bapa atau datuk perempuan mengahwinkan anaknya sebelum umur 16 tahun sebelum 18 tahun dan isteri tersebut masih belum lagi disetubuhi.
viii- suami yang mendatangkan mudharat seperti mengambil dadah, memukul sehingga luka dan lebam.
d) Perceraian tebus talak (khuluk)
Maksudnya ialah perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau harta benda lain kepada suaminya.
Dalam kes ini jika si suami tidak bersetuju untuk bercerai dengan isterinya. Tapi si suami ada syarat supaya dia bersetuju dengan memberinya wang. Jika kedua pihak bersetuju, dengan amaun yang diminta oleh si suami, Hakim akan memberi tempoh untuk membayarnya di hadapan Hakim. Bila sudah sampai tempoh tarikh sebutan tersebut, si isteri boleh membayar amaun yang diminta oleh si suami tersebut di hadapan Hakim.
7) Bagaimana jika pasangan bertukar agama?
Jika salah seorang pasangan telah murtad, maka secara automatik perkahwinan tersebut terbubar. Dalam hal ini, perlu ada pengesahan dari pihak mahkamah.
Jika pasangan dari bukan Islam, dan memeluk agama Islam, sedangkan mereka dah kahwin sebelum memeluk agama Islam, maka mereka tidak perlu untuk akad semula. Mereka boleh teruskan dengan pasangan suami isteri tersebut.
8) Apakah kesan dan akibat kepada perceraian?
Untuk perceraian secara persetujuan, pihak bekas isteri boleh menuntut hak-haknya seperti nafkah iddah, harta sepencarian dan mutaah. Jika talak satu dan dua, pasangan boleh rujuk balik dalam tempoh 3 kali suci. Jika lebih dari itu, mereka kena akad semula. Jika talak tiga, isteri kena kahwin lain, dan wajib disetubuhi, cerai, iddah 3 bulan, barulah boleh kahwin semula dengan bekas isteri itu.
Bagi perceraian melalui takliq, fasakh dan tebus talak, perlulah melalui akad yang baru.
Itulah sedikit sebanyak penerangan yang boleh disampaikan semasa di Langkawi.FM. Mungkin aku akan berlangsung lagi dibulan akan datang. Kerana tugasan ini sebulan sekali dan bergilir-gilir dengan pegawai lain.
Semoga bermanfaaat, Insya Allah.
Sekian,
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment