منڧعتكن علمو اڤا يڠ كامو كتاهٶي

Hujahan Kes Takliq Kedah (sebelah pihak)

HUJAH PENGGULUNGAN KES TAKLIQ NEGERI KEDAH DARUL AMAN TAHUN 2014

ANTARA

MELUR BINTI ABU (PLAINTIF)

DAN

JANTAN BIN BUJANG (DEFENDAN)


HUJAH PENGGULUNGAN

Yang Arif Tuan Hakim,

1. Pendahuluan

Kes ini adalah permohonan untuk mensahkan cerai takliq di bawah Seksyen 42 (1) Enakmen Mahkamah Syariah Kedah 1979 yang telah difailkan sendiri oleh Plaintif MELUR BINTI ABU terhadap Defenden JANTAN BIN BUJANG. Penyerahan saman ke atas Defendan telahpun disempurnakan secara tampalan di Masjid Bohor Merah, Langkawi. Sepanjang tempoh perbicaraan, Defendan telah gagal menghadirkan diri serta gagal membuat sebarang pembelaan di mahkamah. Mahkamah telah menggunakan kuasa yang diperuntukan di bawah Seksyen 116 (1)(b) Enakmen Atucara Mal Mahkamah Syariah Negeri Kedah 1979 untuk membicarakan kes tanpa kehadiran Defendan.


2.Fakta Kes

Fakta kes ini kedua-dua pihak adalah suami isteri yang sah, mereka telah bernikah pada 29/01/2004 di Masjid Sg. Itau, Langkawi Kedah. Selepas pasangan bernikah mereka telah menetap di Kg. Sg. Itau Langkawi dan tidak pindah kemana-mana selepas itu. Pasangan dikurniakan dua orang cahaya mata. Pasangan telah tinggal berasingan sejak tahun 2009. Pada tahun 2009, Defendan telah ditangkap kerana atas kesalahan menghisap dadah. Kejadian itu Plaintif tiada di rumah. Penangkapan tersebut Defendan telah dibawa ke Penjara Jawi, Pulau Pinang selama 5 tahun. Selepas 5 tahun, Defendan hanya pulang sebentar dalam masa 5 minit sahaja untuk mengambil segala dokumennya, kemudian Defendan terus menghilangkan diri. Segala nafkah sejak dari tahun 2009, Defendan tidak berasa untuk bertanggungjawab terhadap Plaintif.


- lafaz takliq zaman tok nenek dulu, 6 bulan -


3. Saksi

Plaintif telah memberikan keterangan dan disokong oleh dua orang saksi, iaitu:-

a) Badang bin Daun                                                                 Saksi Plaintif 1
b) Bulat bin Awang                                                                  Saksi Plaintif 2


4. Fakta Yang Perlu Dibuktikan

Berhubung dengan tuntutan mengesahkan cerai takliq ini, ada beberapa perkara atau isu penting yang perlu dibuktikan di mahkamah, diantaranya adalah:-

i) Wujudnya perkahwinan yang sah di antara Plaintif dan Defendan.
ii) Adanya lafaz takliq yang dilafazkan oleh Defendan semasa akad nikah.
iii) Berlaku perlanggaran kepada lafaz takliq oleh pihak Defendan.
iv) Wujudnya pengaduan oleh Pihak Plaintif.
v) Wujudnya ketaatan Plaintif terhadap Defendan dan;
vi) Kebolehterimaan saksi-saksi.

Mengenai isu pertama, iaitu adanya perkahwinan yang sah antara Plaintif dan Defendan, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa Plaintif dan Defendan telah bernikah secara sah pada 29/01/2004 di Masjid Sg. Itau, Langkawi Kedah. Kenyataan ini diperakui sendiri oleh Plaintif yang turut hadir di upacara pernikahan tersebut serta keterangan Saksi Plaintif 1 (SP1). Malah sesalinan Sijil Nikah dengan Bilangan Daftar No. 023586 Bil: (20/2004) yang ditandatangani oleh Pegawai Agama/Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Langkawi telah dikemukakan ke mahkamah dan dijadikan sebagai Exibit pertama sebagai bukti keterangan tersebut.

Berkenaan dengan isu kedua, samada pihak Defendan ada berlafaz takliq atau tidak semasa akad nikah dilangsungkan. Perkara ini dapat dibuktikan melalui sesalinan Sijil Nikah dengan Bilangan Daftar No. 023586 Bil: (20/2004) yang tertera dengan jelas lafaz takliq yang telah ditandatangani oleh Pegawai Agama Daerah Langkawi, Kedah Darul Aman.

Mengenai kedua-dua isu ini, Plaintif berhujah bahawa mahkamah adalah terikat untuk menerima keterangan bahawa wujudnya pernikahan antara Plaintif dan Defendan dan juga adanya lafaz takliq semasa pernikahan berdasarkan apa yang tercatat di dalam Sijil Nikah. Di dalam Seksyen 36 Bahagian IV dan Seksyen 120 Bahagian X Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979, jelas menunjukkan apa-apa catatan di Surat Perakuan Nikah dianggap sebagai bukti Prima Facie di mahkamah. Dokumen Perakuan Nikah yang dikemukakan adalah dokumen awam dan ia merupakan dokumen Primer dan bukannya Sekunder. Ia menjadi tanggungjawab mahkamah untuk menerimanya. Ia dianggap sebagai dokumen awam kerana ia mengandungi tindakan atau rekod Badan Resmi (Jabatan Agama Islam). Sepertimana kehendak Seksyen 57 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Kedah Plaintif telah membuktikan dokumen rasmi tersebut di mahkamah.

Mengenaik isu ketiga, iaitu adakah telah berlaku perlanggaran terhadap lafaz takliq oleh Defendan. Merujuk kepada lafaz takliq yang tercatit dalam Sijil Nikah tersebut dan ia juga telah dilafazkan oleh Defendan, ada beberapa perkara yang menjadi syarat yang tidak boleh dilakukan atau dengan kata lain ianya mengikat Defendan.

Diantara perkara-perkara tersebut ialah:-

1- Defendan tidak bermuasyarah dan berma'aruf dengan Plaintif samada meninggalkan Plaintif dengan sengaja atau paksaan selama empat bulan Qamariah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan.

2- Defendan atau wakil tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan Qamariah berturut-turut atau lebih dan tidak disabitkan dengan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah atau;

3- Melakukan sebarang mudharat kepada tubuhnya, penganiayaan atau lain-lain dharar syarie terhadapnya. Dan apabila dia mengadu kepada Qadhi atau Hakim Syarie dan sabit aduannya di sisi Qadhi atau Hakim Syarie bagi pihak saya sebanyak RM10 atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia Noriah binti Md Zain dengan satu (1) talak Khali'.

Syarat-syarat yang dinyatakan tersebut mengikat pihak Defendan supaya tidak melakukannya di dalam masa hidup suami isteri. Sekiranya Defendan engkar sahaja daripada perkara yang menjadi syarat atau perjanjian semasa akad nikah tersebut, maka ia boleh membawa kepada berlakunya perceraian secara takliq setelah dibuktikan di mahkamah.

Semasa memberi keterangan selepas bersumpah di dalam mahkamah, Plaintif memberitahu mahkamah bahawa selepas berkahwin, mereka telah menetap di Kg Sg. Itau, Langkawi Kedah. Plaintif mendakwa bahawa Defendan telah meninggalkannya melebihi empat bulan berturut-turut bermula sejak tahun 2009 sehinggalakah ke hari ini. Defendan telah meninggalkan Plaintif tanpa sebarang pesanan apa-apa dari Defendan mahupun dari mana-mana wakil Defendan.

Keterangan Plaintif disokong oleh keterangan dua orang saksi. SP1 merupakan adik kandung kepada Plaintif dan SP2 juga merupakan adik Plaintif. Dan saksi-saksi ini mengetahui dengan pasti bahawa memang Defendan telah meninggalkan Plaintif melebihi empat bulan berturut-turut sehinggalah ke hari ini. Saksi-saksi turut mengakui bahawa mereka sering lalu di hadapan rumah Plaintif serta sering bertandang ke rumah Plaintif dan malam pada itu tidak pernah melihat Defendan sejak empat bulan yang lalu.

Berdasarkan keterangan Plaintif dan saksi-saksi, jelas menunjukkan bahawa Plaintif ditinggalkan oleh Defendan melebihi empat bulan berturut-turut bermula sejak tahun 2009 sehinggalah ke hari ini. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada keterangan tersebut jelas membuktikan bahawa Defendan telah melanggar takliq sebagai mana yang dilafazkan semasa akad nikah pada 29/01/2004. Di atas alasan ini juga, Plaintif berhak mendapatkan cerai takliq yang disabitkan.

Di dalam Al-Quran, kita banyak mendapat nasihat dan pedoman mengenai perkara ini. Umpamanya di dalam surah al-Baqarah (2): 231 di sebut maksudnya:

"................bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya diri sendiri."

Menyentuh tentang samada wujudnya pengaduan oleh Plaintif berkenaan tuntutan cerai takliq ini di mahkamah, maka ianya dapat dibuktikan dengan aduan Plaintif kepada Jabatan Bantuan Guaman untuk diambil tindakan bagi membolehkan permohonan beliau ini disabitkan oleh mahkamah yang mulia ini.

Menyentuh tentang samada wujudnya ketaatan Plaintif terhadap Defendan, sepanjang berpisah dengan Defendan, Plantif telah menjaga adab-adab sebagai isteri. Isu Plaintif keluar rumah juga tidak timbul kerana rumah terakhir Plaintif bersama Defendan iaitu di rumah Kg Sg Itau, Langkawi. Selain itu juga, Plaintif tidak pernah melanggar takrifan Nusyuz sebagaimana terdapat dalam Seksyen 115 Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979. Tambahan pula Plaintif tidak pernah disabitkan dengan apa-apa perintah mengenai Nusyuz dari mana-mana Mahkamah Syariah sehingga perbicaraan kes ini selesai.

Menyentuh tentang kebolehterimaan saksi-saksi Plaintif, saksi-saksi yang dikemukakan dalam kes ini adalah dianggap boleh terima. Mereka bukanlah orang yang mempunyai kepentingan dalam kes ini. Mereka sempurna akal, mempunyai kerja tetap, menampakkan akhlak yang mulia dan bermoral. Selain itu juga dari segi bilangan, saksi-saksi yang dikemukakan adalah cukup bagi membuktikan kes perceraian. Seksyen 88 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Kedah 1989 menyebutkan bahawa dalam Kes Mal, pembuktian hendaklah dengan sokongan keterangan seorang saksi sahaja tuntutannya itu boleh diterima degan saksi itu bersama dengan sumpah pihak yang menuntut. Tambahan pula, Defendan telah gagal dengan sengajanya untuk tidak hadir ke mahkamah dan keterangan-keterangan Plaintif serta saksi-saksinya di mahkamah tidak dibantah oleh mana-mana pihak khususnya pihak Defendan sendiri.

Malah tidak dapat dinafikan yang bahawa permohonan tuntutan cerai takliq ini telah memenuhi syarat-syarat seperti yang terdapat dalam Sighah Takliq Defendan dan juga dibenarkan peruntukkan Seksyen 42 (1) dan (2) Enakmen Keluarga Islam Kedah 1979 Seksyen 42 (1) dan (2) memperutukkan bahawa:-

1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan takliq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketuan Pendaftar untuk didaftarkan.

- lafaz takliq baru untuk zaman sekarang, tempoh 4 bulan -

Dengan Izin Yang Arif,

Hujahan kami juga bersandarkan kepada Al-Quran dan Hadis seperti berikut:-

"Wahai orang-orang beriman penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian".
Surah al-Maidah: 1

Begitu juga dinyatakan di dalam Al-Quran yang membawa maksud:

"...................................................... dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia) sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya (pada hari akhirat)."
Surah al-Isra': 34

Di dalam hadis juga disebut maksudnya:

"Orang-orang Islam terikat dengan syarat perjanjian mereka kecuali perjanjian untuk menjadikan perkara haram kepada halal atau perkara halal kepada haram".

(Subulussalam, Juzuk 3 m/s 58)

Mengenai takliq khususnya ada disebut dalam kitab 'Al-Sharqawi Ala Tahrir' yang maksudnya:

"Barangsiapa berlafaz takliq akan talaq dengan satu-satu sifat dan didapati sifat itu maka jatuhlah talaq mengikut kehendak lafaz itu".

Di dalam kitab 'Inaat Al-Talibin' disebut maksudnya:-

"Adalah dibolehkan mencerai dengan takliq seperti juga janji memerdekakan hamba atas syarat dan tidak dibenarkan menarik balik sebelum kejadian perkara itu dan perceraian itu akan terjadi apabila apa yang disyaratkan itu terjadi".

Selain itu juga saya ada merujuk kepada beberapa kes yang telah diputuskan oleh beberapa mahkamah di Malaysia berhubung dengan cerai takliq. Walaupun keputusan kes ini tidak mengikat mahkamah ini, namun ada baik rujukan dibuat kepadanya sebagai panduan bagaimana kes yang seperti itu diputuskan.

Dalam kes WAN AZIZAH LWN KASSIM JH (1405) H JLD V Bhg 1, m/s 123-125.

Fakta kes:-
Isteri/Plaintif dalam kes ini telah memohon untuk pembubaran perkahwinan mereka secara takliq. Walaubagaimanapun suami/Defendan tidak hadir. Plaintif telah membawa 2 orang saksi untuk memberi keterangan di mahkamah, dan pihak mahkamah telah memerintahkan Plaintif bersumpah :Yamin Istizhar". Mahkamah putuskan: Tertalaklah lafaz takliq dan jatuhlah talak ke atas isterinya dengan satu talak khulie.

Dalam kes NORSIAH LWN HASHIM JH (1405) H JLD V Bhg 1, m/s 126-129.

Fakta kes:-
Isteri/Plaintif dalam kes ini telah memohon untuk pembubaran perkahwinan mereka secara takliq. Walaubagaimanapun suami tidak hadir. Plaintif telah membawa 4 orang saksi untuk memberi keterangan pada mahkamah dan pihak mahkamah telah memerintahkan agar Plaintif bersumpah "Yamin Istizhar". Mahkamah putuskan: Tertalaklah lafaz takliq dan jatuhlah talak ke atas isterinya dengan satu talak khulie.

Dalam kes ini, Plaintif berhujah bahawa Defendan telah melanggar syarat-syarat takliqnya. Defendan telah tidak bersekedudukan dengan Plaintif semenjak tahun 2009. sehingga sekarang dan tidak memberi nafkah dalam masa tersebut. Selain sedangkan Plaintif masih taatkan Defendan.

Oleh yang demikian, memandangkan wujudnya perkara-perkara terpenting dalam masalah tuntutan sabit takliq: iaitu:-

a) Adanya perkahwinan yang sah di antara Plaintif dan Defendan;
b) Adanya lafaz takliq yang dilafazkan oleh Defendan semasa akad nikah;
c) Adanya keadaan di mana pihak Defendan telah melanggar terma-terma lafaz takliq; dan
d) Wujudnya pengaduan isteri; dan
e) Wujudnya ketaatan isteri;
f) Kebolehterimaan saksi-saksi.

Maka berdasarkan kepada hujah-hujah dan alasan yang tersebut di atas, Plaintif memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar mensabitkan lafaz takliq yang telah dilafazkan oleh pihak Defendan ke atas Plaintif sewaktu akad nikah pada 29/01/2004.


Bertarikh .............................. hb Mac 2014



..........................................
                                                                                                                                  Peguam Pemohon




Hujah Penggulungan ini difailkan oleh ............................................................................Kedah Darul Aman. ABC.EFG (ZX) 109/2014.

Share on Google Plus

About Ben Ismail

Berkongsi pengalaman

2 comments:

  1. Assalamualaikum, tuan.
    Saya mohon untuk jadikan hujahan ini sebagai rujukan untuk penyediaan kes saya.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    Saya mohon gunakan hujah di atas untuk rujukan kes saya. TQ

    ReplyDelete