منڧعتكن علمو اڤا يڠ كامو كتاهٶي

Rahmat Ramadhan

Salam sejahtera,

Alhamdulillah, pada hari ini telah masuk hari yang kedua berpuasa pada tahun 1435 Hijrah. Hujan turun sehari suntuk pada hari kelmarin hari pertama yang menyebabkan kesejukan yang jarang-jarang sekali hujan turun setiap kali Ramadhan pada tahun-tahun lepas.

Sedia maklum kita semua telah mengetahui bahawa Rasulullah mengatakan Ramadhan terdapat 3 fasa. Fasa pertama menjelaskan Rahmat Allah untuk sehari bermula sehingga hari yang ke-10. Fasa kedua pula ialah Keampunan Allah bermula malam ke-11 hinggalah malam ke-20. Dan fasa terakhir ialah Bebas daripada Api Neraka Allah dari malam ke-21 hingga malam terakhir samada malam ke-29 ataupun 30.

Berdasarkan dari sabda Nabi tersebut, bolehlah kita menerangkan secara terperinci mengenai fasa tersebut apabila kita sekarang menjalani pada zaman ini. Berdasarkan daripada sumber-sumber alim ulama dalam penceramah ataupun kuliah beserta tazkirah-tazkirah, bolehlah aku merumuskan dari analogi-analogi tersendiri.

- perkara yang dilarang disiang hari -

Fasa yang pertama menerangkan Rahmat Allah. Pada waktu ini rahmat Allah diturunkan ke bumi bagi setiap makhluk. Segala amalan akan diterima oleh Allah secara ikhlasnya. Rahmat ini amat penting kerana rahmat ini adalah segala-galanya. Segala yang ada di langit dan juga seisi di dunia, rahmat inilah lebih penting untuk sekalian alam. Rahmat jugalah yang akan membawa diri kita ke syurga, begitulah hebatnya rahmat.

Apa yang hebat dengan rahmat ini, selalu kita melihat apabila masuknya malam Ramadhan, berpusu-pusu orang atau jemaah pergi ke masjid untuk melakukan sunat Terawih. Malam itu bagaikan seperti hari sembahyang Jumaat. Kereta penuh di lot parking sehingga parking kereta di tepi-tepi jalan. Masjid sehingga melimpah jemaahnya. Kadang kala terfikir, mengapa solat Fardhu yang wajib seperti Isyak pada malam-malam bulan lain tidak seperti ini, sudah banyak tahun aku memikirkan perkara ini. Setelah sekian lama, barulah mengerti, rupa-rupanya, malam di bulan Ramadhan seawal malam pertama sehingga ke-10, adalah RAHMAT dari Allah. Maka dari RAHMAT itulah orang ramai menjadi automatik untuk ke masjid. Hebatnya Rahmat itu.

- Gambar hiasan masjid di siang hari -

Bagi fasa kedua pula ialah Keampunan. Pada fasa inilah orang meminta keampunan dari Allah diatas segala dosa-dosa yang dilakukan. Dosa bagi setiap Muslim pasti ada, tidak ada yang tidak ada melainkan orang gila dan juga kanak-kanak. Dari dosa ini jugalah setiap perbuatan kita pasti tidak tenteram dan pasti ada juga yang tidak kena seperti berniaga yang tidak untung, kenderaan yang sering rosak, rumahtangga yang sering berbalah malah bagi duit yang banyak pun, berasa tidak cukup untuk berbelanja. Maka dari situlah malam yang diberkati tersebut, kita patut mengambil peluang yang cukup berharga itu.

Tapi untuk fasa ini, sunat terawih dah makin berkurangan jemaahnya. Ini beranggapan secara umum, meminta keampunan tersebut bila-bila masa pun boleh. Selepas solat fardhu, kita berwirid dan beristighfar, maka dengan itu kemungkinan mereka sudah mencukupi untuk meminta keampunan.

Bagi fasa yang terakhir, bebas dari api neraka Allah. Sedia maklum sudah diketahui bagi Muslim kepanasan api neraka 70 kali ganda. Asapnya saja sama panas api didunia ini. Jika kita berkaki ayam dan berjalan di atas tar atau simen dihari matahari terik, jika itu pun tidak tahan, usahlah bermimpi terdetik di hati untuk membuat maksiat kepada Allah. Fasa ini sangat menguji keimanan seseorang. Apa yang menguji itu? Seperti susah untuk laksanakannya....

Malam terakhir 10 Ramadhan adalah malam Lailatul Qadar. Malam lebih baik dari seribu bulan. Malam ini sangat dituntut untuk melakukan ibadah kepada Allah. Tetapi pada malam terakhir ini jugalah manusia amat sedikit bilangannya untuk berjemaah sunat teraweh. Pada ketika ini jugalah, manusia ramai di kedai shopping-shopping untuk membeli baju raya dan juga kuih raya. Mengapa begitu?

Sedangkan solat 5 waktu itupun susah bagi umat manusia kerjakan. Padahal solat itu hanya mengambil 5-10 minit sahaja. Dan pergerakannya amat ringan sekali. Inikan pula sunat teraweh banyak bilangan rakaatnya yang suasananya pula teruja apabila dekatnya hari lebaran. Dan satu lagi, ramai orang tahu fadhilat solat berjemaah, tapi amat sikit sekali bilangannya untuk ke masjid. Mengapa? Itulah seberat-berat perkara untuk dilakukan walaupun seringan-ringan perbuatan. Pada malam 10 terakhir itu jugalah, kaum Muslimin akan diuji keimanan samada untuk mengejar malam sehebat itu, ataupun tewas dibelai nafsu.

Dan yang terakhir bab puasa, ramai ibu bapa memaksa anaknya untuk berpuasa sedangkan dalam bab solat tidak diberatkan. Padahal solat yang paling ditekankan kerana solat adalah ibu segala ibadat. Jika anaknya solat, ibadat lain akan mengiri dan automatik anaknya berpuasa. Jika memaksa anaknya berpuasa dan tidak ditekankan bab solat, maka perbuatan itu sia-sia menahan lapar dan dahaga sahaja.

Wallahu' A'lam

Sekian,

Wassalam
Share on Google Plus

About Ben Ismail

Berkongsi pengalaman
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment